Friday, January 4, 2008

Fadhilat Muharram-benar atau sebaliknya

Awal Muharram bakal menjelang tiba, saya melawati beberapa laman web untuk mendapat informasi berkenaan bulan Islam yang mulia ini. Banyak laman web yang menceritakan peristiwa penting yang berlaku pada bulan Muharram dan fadhilat pada 10 hb Muharram. Fadhilat-fadhilat yang dimaksudkan adalah seperti berikut :



1. Meluangkan masa dan belanja anak isteri : Fadhilat dimurahkan rezeki pada tahun tersebut

2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menunjukkan orang sesat. Fadhilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
4. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. Fadhilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.
5. Bersedekah. Fadhilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
6. Mandi Sunat. Fadhilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu
7. Bercelak. Fadhilatnya - tidak akan sakit mata pada tahun itu
8. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti
9. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.
10. Membaca - "ham biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru". Fadhilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
11. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilatnya - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

12. Puasa - Fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.



Dari sumber al-ahkam.net, sumber diperolehi adalah dari Hadis yang sangat lemah. Bulan-bulan dalam Islam telah diperkenalkan oleh Saidina Umar Al-Khatab (r.a) dan beliau juga yang memberi nama bulan-bulan tersebut. Sekiranya nama-nama bulan Islam ini diperkenalkan pada zaman sahabat, maka dari sumber manakah hadith-hadith berkenaan bulan Muharram itu datang?



Terdapat juga amalan doa awal dan akhir tahun dimana doa akhir tahun hendaklah dibaca pada waktu Maghrib, tetapi sumber hadith ini juga adalah lemah kerana kita boleh berdoa pada bila-bila masa.



Secara peribadi, semasa membaca fadhilat 10 Muharram tersebut, saya agak musykil apakah rasional fadhilat pertama iaitu meluangkan masa dan belanja anak isteri pada hari tersebut, bukankah perkara tersebut boleh dibuat selalu dan tidak perlu menunggu sehingga 10 Muharram, ia sama seperti mengadakan majlis harijadi sedangkan tiada tuntutan dalam Islam untuk menyambut hari lahir ini.

Fadhilat yang ke10 pun lagi mencurigakan dimana sekiranya kita membaca doa tersebut pada 10 Muharram, kita tidak akan mati pada tahun itu, sedangkan ajal maut, Allah (S.W.T) yang tentukan.

Dari sumber al-Ahkam.net, perkara sunat yang boleh diterima ialah berpuasa, tetapi fadhilatnya juga dipersoalkan iaitu mendapat pahala 1000x haji, 1000x umrah, 1000x syahid dan diharamkan neraka, sedangkan Fadhilat berpuasa terdapat di dalam riwayat Abu Qatadah ra, beliau berkata : Rasulullah saw bersabda :
صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية
"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].


Berkata Imam Ibn al-Qayyim rh :-
أحاديث الاكتحال يوم عاشوراء، والتزين، والتوسعة والصلاة فيه، وغير ذلك من فضائل، لا يصح منها شيء، ولا حديث واحد، ولا يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم فيه شيء، غير أحاديث صيامه، وما عداها فباطل. وأمثل ما فيها: "من وسَّع على عياله يوم عاشوراء، وسع الله عليه سائر سنته"، قال الإمام أحمد: لا يصح هذا الحديث.


"Hadith-hadith tentang bercelak pada hari Asyura', berhias, meluaskan sesuatu perkara, solat khusus pada harinya dan lain-lain kelebihan tidak ada sesuatupun yang sahih, Ia tidak thabit dari Nabi :saw mengenainya selain dari hadith-hadith tentang puasa. Perkara yang selain dari amalan berpuasa adalah Batil. Misalnya : "Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari 'Asyura, Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun." [Fiqh al-Shiyam, al-Qaradhawi, ms 144].


Pandangan dari rakan-rakan semua dialu-alukan supaya kita mendapat maklumat yang sebenar berkenaan amalan-amalan pada hari atau bulan tertentu ini. Saya tidak bermaksud mempertikaikan amalan-amalan pada 10 hb Muharram ini, tapi pada pandangan saya eloklah sesuatu amalan itu dilakukan dengan ikhlas dan bukan disebabkan ganjaran yang menanti kerana hanya Allah (S.W.T) sahaja yang berhak menilai amalan kita. Wallahu'alam.


* Selamat menyambut tahun baru Hijriyyah yang bakal menjelang.

No comments: