Wednesday, December 5, 2007

Puasa dan Detoksifikasi

My Rainbow Text - http://www.myrainbowtext.com



Terlalu banyak kelebihan di bulan Ramadan seperti yang dinyatakan dalam blog Dr. Ariffaizal di artikel Ramadan. Disebabkan bulan Ramadhan hadir setahun sekali, kita merasakan berpuasa sesuatu yang sukar dilakukan, dan mengambil alasan menangguhkan sesuatu kerja kerana berpuasa. Hingga kita lupa, sesuatu yang diperintahkan ke atas kita pasti ada hikmah di sebaliknya. Pemahaman kenapa kita wajib berpuasa perlu ada supaya kita dapat membentuk minda menerima keadaan ini dan tidak dibuai-buai dengan perasaan lapar sepanjang hari. Di samping keterangan yang diberikan oleh Dr. Ariffaizal, saya kongsikan bersama maklumat dari buku Quran Saintifik oleh Dr. Danial Zainal Abidin supaya kita semua dapat renungkan bersama dan bertambah kuat pegangan sebagai orang Islam, insyaallah.

Puasa merupakan salah satu proses detoksifikasi yang baik. Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin.

Dr. Lonny J. Brown menyatakan amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini adalah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat bagi meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan sesuatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa semasa sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan.

Semasa berpuasa organ-organ dapat berehat dan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa sebenarnya adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan bagi pesakit-pesakit mereka, malah Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering saja berpuasa.

Menurut Dr. Cindy Engles dalam Wild Health : How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn from Them, Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja bagi binatang malah bagi manusia juga. Puasa mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi bagi bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan ini akan melemahkannya.

Sebagai orang yang tergolong diwajibkan berpuasa, kita seharusnya bersyukur dengan tatacara yang telah ditetapkan ini. Selagi kita merasakan puasa satu beban, selagi itu kita sukar melaksanakannya. Tidakkah kita terfikir betapa sayangnya Pencipta kita terhadap kita, sudahlah berpuasa itu untuk kebaikan kita, diberiNya pahala pula jika kita mengikut perintahNya.

Sesekali dalam kesibukan hidup ini, renung-renungkanlah agar kita masih lagi mendapat hidayah dan sentiasa dilindungiNya, Amin.


No comments: